Kartika Sari Dari Sudut Kemanusiaan - Nostalgia 2009

Hari Kemerdekaan kita yang ke 52 sudah muncul diambang pintu. Alangkah bahagianya reaksi rakyat menunggu dan mempersiapkan diri demi perpaduan dan kesejahteraan bersama. Apa lagi kehadiran bulan Ramadhan Almubarak yang sangat ditunggu tunggu oleh ratusan juta ummah diseluruh dunia. Bulan suci yang menjanjikan keampunan dan keinsafan. Satu pengesahan mutlak dari Allah SWT kepada mereka yang ikhlas, jujur, insaf dan rendah diri.



Dalam kita ghairah menyusun keinginan untuk merdeka dan berpuasa, kita juga dihidangkan oleh berita panas peragawati sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno. Dari pengamatan peribadi, saya yakin persamaan nama ahli ahli keluarga Allahyarham Presiden Sukarno ini tidak ada kaitannya dengan insiden yang sedang melanda keluarga Encik Shukarnor Abdul Mutalib di Kampung Jawang, Kuala Kangsar ini. Yang jelas, Malaysia sekali lagi menjadi objek perhatian lensa media antarabangsa untuk berita sensasi yang negatif. Mungkin kita tidak perlu ambil tahu tentang impak yang bakal diterima oleh ekonomi Negara. Namun percayalah, industri pelancungan akan kehilangan jutaan ringgit dari kesangsian dan keraguan pelancung terhadap berita ini.





Ugama adalah satu pegangan kehidupan manusiawi yang membimbing akhlak dan membentuk jatidiri untuk menjalani kehidupan ini dengan KESEMPURNAAN yang sebaik mungkin. Namun bagaimana kuat sekalipun manusia cuba untuk membentuk diri supaya sempurna, terbukti akan kelemahan yang sememangnya lumrah dikalangan makhluk Allah SWT yang tidak berdaya, kerdil dan serba kekurangan. Justeru Allah itu maha pengampun, pengasih dan penyayang. Maka, penguatkuasaan sesuatu undang undang – biarpun ia adalah hukum yang dimaktubkan oleh ugama, belum tentu dapat dilaksanakan oleh sebuah Negara yang bermasyarakat majmuk. Bahkan, seperti dikebanyakan Negara Islam lainnya, hukuman seumpamanya belum dapat dilaksanakan.



Sebelum mengambil keputusan untuk melaksanakan sesuatu hukuman, perlu ada satu pertimbangan kemanusiaan yang praktikal dan masuk akal. Apakah kita bersikap adil kepada seorang pesalah bilamana ribuan pesalah lainnya dengan jelas bebas melakukan kesalahan yang sama di depan mata kita setiap hari?





Mari kita lihat contoh ini - sembahyang lima waktu itu adalah kewajipan mandatori. Namun dapatkah kita pastikan samada ia dapat dilaksanakannya oleh semua dengan lengkap. Begitu juga dengan puasa. Siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa tidak ada seorang pun yang wajib berpuasa itu sempurna puasanya. Maka adalah tidak wajar untuk kita tangkap beberapa orang yang tidak berpuasa atau bersolat 5 waktu sehari, lalu dijatuhkan hukuman kepada mereka. Hakikat ini hanya sebahagian kecil dari keseluruhan ketidak pastian yang bergelumang dalam pemikiran kita. Oleh itu, amatlah tidak logik bagi Kartika Sari Dewi untuk dipilih secara rambang sebagai mangsa kepada ketidak adilan penghukuman ini – kecuali penguat kuasaan dapat dilaksanakan seratus peratus tanpa ada seorang pun yang terlepas.





Apabila keputusan dijatuhkan kepada Kartika Sari Dewi di atas kesalahannya, kita bertanggungjawab untuk melunaskannya. Persoalannya adalah, dimanakah keadilan bagi dia dan keluarganya. Sementara ramai ‘ suspek suspek berpotensi’ lainnya yang terdiri dari orang biasa, remaja, golongan terhormat, artis, seniman, golongan profesional, korporat, hartawan dan berpangkat juga sama sama berada dalam kancah dunia jahiliah ini. Terlepas pandang, kekurangan tenaga kuat kuasa atau tidak ambil peduli. Ternyata kita tidak mampu untuk membendung keseluruhan kerapuhan sosial. Maka Dewi Kartika menjadi mangsa sementara isu keseluruhan berkenaan masalah ini tetap tidak berubah.



Nasi sudah menjadi bubur. Apabila hukuman ini sudah dijatuhkan, maka dunia perundangan syariah Negara sudahpun meletakan satu ‘benchmark’ kepada tahap hukum Islam yang boleh dilaksanakan. Persoalan akan timbul apakah hukum Islam ini dapat dilaksanakan secara konsisten disetiap negeri dan diiktiraf oleh Parlimen sebagai undang undang Negara. Maka selanjutnya adakah huhud akan berkuat kuasa? Wanita yang berzinah akan di sula sampai mati. Apabila lelaki yang merogol akan direjam dengan batu sampai mati. Sementara pencuri akan di potong tangan mereka. Sedangkan Kelantan, sebagai serambi Mekah negara masih belum dapat melaksanakannya. Apa lagi seluruh negara yang bermasyarakat majmuk.



Kita sebenarnya terlalu banyak merugikan masa, tenaga, wang dan harga diri untuk tujuan yang kurang tepat. Sementara keperluan dan keagungan Agama yang lebih besar diabaikan. Daripada kita membuka pekung didada menghukum seorang manusia sedangkan ribuan lainnya bebas melakukan kesalahan yang bahkan lebih besar – alangkah baiknya bagi kita mencari jalan untuk menyatupadukan warga Islam Malaysia. Fahaman politik, kedaerahan, warna kulit, status perekonomian, bahasa dan budaya banyak memisahkan kita. Alangkah baiknya, jika kita alihkan tenaga, fokus dan ikhtiar kepada kerja kerja kemanusiaan, pembangunan jiwa, penyatuan ummah, keamanan dan kesejahteraan.



Setiapkali isu isu sensitif seperti ini timbul, kerajaan terpaksa dibebani oleh tanggungjawab sosial untuk berdiplomasi demi menjaga harga diri Negara. Ia tidak akan dapat membantu jentera Negara yang sentiasa bekerja menyelesaikan berbagai ekonomi, politik, social, budaya dan tanggungkjawab semasa yang sudah bertimbun. Fokus perlu diberikan kepada senario yang lebih besar – Rakyat di dahulukan, Pencapaian di utamakan. Pada tahap ini, kita seharusnya sudah dapat membereskan hal ehwal domestik yang remeh temeh. Langkah selanjutnya melihat kepada agenda 1Malaysia yang lebih besar.



Marilah kita belajar berfikiran terbuka melihat keluar dari kepompong mikro yang sudah lama menutupi alam penglihatan. Jelajahi arena makro tanpa batasan. Nescaya dapat membantu memperbaiki jatidiri sesama manusia. Ia sekaligus mendukung hasrat Negara untuk bergerak cergas memberikan yang terbaik untuk kita dengan satu pencapaian yang hebat dan mulia.

0 comments:

Post a Comment